Sebelum ini, Ayda Jebat mendapat kritikan hebat daripada peminat selepas menang besar di Anugerah MeleTOP Era tahun ini, dan kini, dia mendapat perhatian orang ramai sekali lagi selepas memuat naikkan muzik video lagu terbarunya, “Shake Shake Uolls”.
Lagu tersebut yang turut menampilkan penyanyi rap Waris bertujuan untuk mempromosikan produk kecantikan dan kesihatan AuraWhite, kerana Ayda merupakan duta produk tersebut.
Walaupun muzik videonya dah dimuat naikkan ke YouTube pada awal bulan Mac, hanya baru-baru ini saja ia mendapat perhatian para netizen selepas ia dikongsikan oleh laman portal RotiKaya dengan kapsyen “Shake shake you all. Dengar lebih sekali, memang melekat di kepala klip video bertaraf antarabangsa ini.”
Ramai yang mendengar dan melihat muzik video tersebut memberi komen-komen dan kritikan yang kurang baik terhadap Ayda Jebat.
Ada yang membandingkan muzik video tersebut dengan video “Ain’t No Other Man” daripada Christina Aguilera kerana konsep yang hampir serupa dengan tema ala-ala era 20 atau 30-an, dan seperti Christina, Ayda juga memainkan watak penyanyi lounge dalam videonya.
Ada juga yang mengatakan yang rentak korus lagu tersebut mempunyai persamaan dengan lagu “Uptown Funk” nyanyian Mark Ronson dan Bruno Mars.
Walau bagaimanapun, masih ada penyokong yang mempertahankan Ayda dan lagunya daripada kritikan negatif.
Muzik video “Shake Shake Uolls” juga menampilkan pelakon Amyra Rosli yang juga merupakan duta AuraWhite.